PUISI

Puisi seorang ayah dan galah

kau seperti biasa
setelah cerah tanah lewat silau menyimbah
sedang langit menguntum kuning
perut kau telah pun dialas

kerana kau punya satu tugas
yang sudah lama kau galas
demi zuriat kau yang berbelas

kau memang cekal dan lantang
jasad kau berperang
urat leher kau timbul, tegang dan mengerang
kau seperti memikul beban
tapi,
tapi wajahmu dibasahi air tenang

rasa seperti peri lelah kau terpercik
terpercik ke dalam anak mataku
namun kau tetap begitu
terpacak, terpaku dan menahan jasadmu
tubuh kau menapak dan menongkat
kadang helai-helai hijau itu terselak
silau cahaya bola besar
menikam tajam anak matamu
berpinar tapi kau tegar

kau dongak lagi
pedih sekejap.
tapi kau terus berjuang tanpa peduli
bahu kau pasang gagah
tangan kau genggam kemas
demi sesisip rezeki
demi perut-perut yang lapar

tiba-tiba seperti biasa
genggaman kau pecah
jari-jari tangan kau lemah
galah hinamu rebah
menyembah kalah
kau tidak sekali mengalah
kau bernafas dalam penat dan lelah
kini diri kau penuh lopak-lopak sejarah
sebati nan likat dalam daging dan darah
seorang ayah dan sebatang galah



Puisi Ibu

Orang kata aku lahir dari perut ibu..
Bila dahaga, yang susukan aku.. ibu
Bila lapar, yang suapkan aku..ibu
Bila keseorangan, yang sentiasa di sampingku.. ibu
Kata ibu, perkataan pertama yang aku sebut.. Bu!
Bila bangun tidur, aku cari.. ibu
Bila nangis, orang pertama yang datang ..ibu
Bila nak bermanja... aku dekati ibu
Bila nak bergesel... aku duduk sebelah ibu
Bila sedih, yang boleh memujukku hanya ibu
Bila nakal, yang memarahi aku... ibu
Bila merajuk... yang memujukku cuma..ibu
Bila melakukan kesalahan... yang paling cepat
marah..ibu
Bila takut... yang tenangkan aku.. ibu
Bila nak peluk... yang aku suka peluk..ibu

Aku selalu teringatkan ..Ibu
Bila sedih, aku mesti talipon... Ibu
Bila seronok... orang pertama aku nak beritahu... Ibu
Bila bengang.. aku suka luah pada ..Ibu
Bila takut, aku selalu panggil.. "ibuuuuuuuuuuuuu! "
Bila sakit, orang paling risau adalah ..Ibu
Bila nak exam, orang palin g sibuk juga Ibu
Bila buat hal, yang marah aku dulu..Ibu
Bila ada masalah, yang paling risau.. Ibu
Yang masih peluk dan cium aku sampai hari ni.. Ibu
Yang selalu masak makanan kegemaranku. . Ibu
Yang selalu simpan dan kemaskan barang-barang aku, Ibu
Yang selalu berleter kat aku.. Ibu
Yang selalu puji aku.. Ibu
Yang selalu nasihat aku.. Ibu
Bila nak kahwin..
Orang pertama aku tunjuk dan rujuk... Ibu

Aku ada pasangan hidup sendiri
Bila seronok... aku cari pasanganku
Bila sedih... aku cari Ibu
Bila berjaya... aku ceritakan pada pasanganku
Bila gagal... aku ceritakan pada Ibu
Bila bahagia, aku peluk erat pasanganku
Bila berduka, aku peluk erat Ibuku
Bila nak bercuti... aku bawa pasanganku
Bila sibuk... aku hantar anak ke rumah Ibu
Bila sambut valentine... Aku hadiahi bunga pada
pasanganku
Bila sambut hari ibu... aku cuma dapat ucapkan Selamat
Hari Ibu
Selalu... aku ingat pasanganku
Selalu... Ibu ingat kat aku
Bila..bila... aku akan talipon pasanganku
Entah bila.. aku nak talipon Ibu
Selalu... aku belikan hadiah untuk pasanganku
Entah bila... . aku nak belikan hadiah untuk Ibuku

Renungkan:

Dulu Ibu kata: "Kalau kamu sudah habis belajar dan
berkerja... bolehkah kamu kirim wang untuk Ibu? Ibu
bukan nak banyak... lima puluh ringgit sebulan pun
cukuplah".

Berderai air mata. Hari ini kalau Ibu mahu lima ratus
sebulan pun aku mampu. Aku boleh kirimkan. Tapi Ibu sudah tiada.
ingatlah pengorbanan ibuuuuu... .




 
Puisi Guru Oh Guru

Guru Oh Guru ..................
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum manjadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.





Harga Cinta 

Puisi berhenti mencintaimu
Seharusnya aku pergi saat kau tolak aku..
Seharusnya ku tidak di sini lagi
menanti ucap cinta... itu takkan mungkin..
Aku bertahan di sini biar kau terbiasa dekat denganku..
Biar kau rasa cintaku.. Biar kau tahu erti hadirku..
Aku takut patah hati, aku takut jauh darimu..
Melupakanmu, membunuh cintaku!
Tahukah kamu perkataanmu melukai dinding hatiku?
Berteman itu indah.. Dan hatiku takkan setuju!
Yang aku ingin bukan hanya menatapmu,
mendengar ceritamu...
Aku ingin menangis bersamamu.. ketawa denganmu..
Berbagi hati selamanya..
Beri aku kejelasan.. apa ertinya selama ini?
Kau beri ku puji, buat ku tinggi..
Kau beri harapan sepertinya indah..
Namun kenyataannya tak semanis inginku..
Salahku terlanjur ingini semua yang ada di dirimu..
Salahku terlalu berkhayal indah tentangmu..
Sebelum cinta ini hina.. semampunya ku harus rela..
Berhenti merinduimu.. Dan membunuh rasa ini..
Mohon ajarkan aku cara melupakanmu..
Agar aku tetap kuat tanpa bayangmu..
Mohon jangan datang lagi di kehidupanku..
Bukan ku membenci.. Tapi aku telah tersakiti olehmu..
Belajar berhenti mencintaimu..






Puisi insan kecil
Insan Kecil Persahabatan ini terlalu suci untuk aku buangkan. Terlalu indah untuk aku kuburkan. Namun apalah erti persahabatan ini andai luka yang menjadi balasannya. Persahabatan ini ibarat kayu yang rapuh. Terlalu mudah patah bila badai melanda. Namun siapalah aku untuk menyatakan kasihku pada dia yang bergelar sahabat. Aku hanya insan kecil. Terlalu kecil hingga aku kadang-kala dipersia begitu saja. Adakah aku tiada makna dalam hidupmu?. Dimanakah namaku berada dalam kamus hatimu? Atau mungkin langsung tidak tercatat namaku dimana-mana ruangan kecil hatimu. hingga terlalu senang kau mencampakkan aku dimana-dimana bila aku tidak kau perlukan.

Mungkin benar kata orang, aku pelakon hebat. Terlalu hebat mempertontonkan watak sahabat yang terlalu memahamimu. Namun mungkin kau tidak sedari betapa rapuhnya hatiku tak kala kau hadiahkan aku kelukaan. Betapa peritnya senyuman yang terukir. Mungkin kau hanya Nampak kemanisan senyuman itu tapi kau tidak pernah rasa kepahitan di celahannya. Tahukah kau kemanisan itu datangnya dari rasa ikhlasku padamu tapi dari mana datangnya kepahitan itu?. Kau sendiri tidak tahu. Kepahitan itu datangnya dari jiwa insan kecil yang terluka. Sakitnya hati ini bila tercalar. Aku insan kecil yang hanya mampu menangis bila aku disakiti. Tidak mampu berbuat apa-apa bila jiwa aku dilukai. Siapa yang mahu mendengar tangisan insan kecil ini? Cuma malam yang pekat itu faham. Dia selalu menjadi teman. Setia benar dia mendengar keluhanku. Kerna Gelap malam itu yang selalu mendengar irama sendu berlagu pilu insan ini. Mengapa? Kerna aku insan kecil.

Aku bangga denganmu kerna tanpa aku kau mampu berdiri gah tapi tahukah kau tanpamu aku terlalu lemah. Tanpa kau jiwaku terasa hambar. Tanpamu juga duniaku hilang. langsung tiada seri. wahai sahabatku, dikala ini kelompak-kelompak kerisauan mula berputik di ruangan hatiku. aku bimbang kerna bunga-bunga di taman hati yang dulu subur mekar berkembang kian layu dan mungkin satu hari nanti taman yang indah ini akan hilang keindahannya. seperti persahabatan ini. aku kian jauh darimu tapi langsung tidak kau sedari betapa jauhnya hati kita saat ini.

aku tidak meminta wang atau harta bendamu sebagai balasan untukku sebagai temanmu yang setia. aku memilihmu bukan kerna hartamu atau raut wajahmu yang mempersonakan. aku memilihmu kerna aku yakin padamu. yakin pada keikhlasan hatimu. ku hanya mahu meminta pengertianmu dalam mengharungi ranjau dan duri dalam hidup ini. ku pinta kau memahami hati dan perasaanku seperti mana aku yang sentiasa menjaga hati dan perasaanmu. aku amat bimbang jika sekeping hati milikmu dicalari. risau andai hatimu disakiti. apakah kau juga seperti aku?

Aku menyanyangimu sahabat dengan sepenuh jiwaku. Kasih dan sayang inilah yang sering memakan jiwaku sendiri. Melumatkan hatiku hingga langsung tiada serpihannya. Kerna kau aku sanggup terluka. kerna kau juga aku sanggup dilukai. Kerna kau, aku bina kembali hati ini. Aku membinanya dengan kalimah kemaafan dari mu. dengan pujukan dan kata-kata manismu.Untuk apa? Untuk kau sakiti ia berulang kali. Aku insan yang kering jiwanya. Aku mencari di mana dia kasih, dimana dia sayang. Aku berharap kau mampu basahi jiwa ini dengan ketulusan hatimu. Siapalah aku?. Aku hanya insan kecil yang mengharap kasih saktimu menyuburkan jiwaku.

Sahabat, andai di pertengahan jalan ini terhentinya kasih kita. Terputusnya ikatan kita, aku harap kau terus berlari menggapai cita-citamu. maafkanlah aku yang tak bisa mempertahankan kasih ini hingga tiba di penghujung jalan. hingga ajal menjemputku pulang. sahabat, Teruskan perjalananmu. Kerna destinasi kita masih jauh. Masih tidak terjangkau dek pemikiran. Usah kau toleh lagi kebelakang. Usah kau cari lagi dimana bayanganku berada. Kerna aku tidak mahu kau kenangi lagi kisah silam kita. Namun ketahuilah yang aku sentiasa ada untukmu walaupun kasihmu sudah tiada bersamaku. Ketahuilah namamu sudah ku semat kukuh dihatiku. Biarku simpan kisah ini menjadi coretan luka dalam jiwa yang lara ini. Untukmu sahabat ku hadiahkan puisi ini.

Sahabat,
Hulurkanlah tanganmu bila aku terjatuh,
Pimpinlah tanganku bila aku tersesat,
Hamparkanlah bahumu saat aku berduka
Peluklah aku bila aku Berjaya

Sahabat,
Aku berharap kau selalu ada
saat aku memerlukanmu,
Saat suka dan duka menjenguk jiwaku,
Saat aku hilang tempat berpaut,
Dan saat itu ku harap kau hulurkan tanganmu
Bersama keikhlasan hati.
Tanda tuluskan ikatan kita.

Sahabat,
Aku tidak berharap kau menjadi insan sempurna,
Kerna aku juga tidak sempurna,
Aku tidak harap kau sebagai pelindungku
Aku hanya berharap agar kau memberi sedikit semangatmu,
Untuk aku berdiri tegak,
Berani menempuh arus hidup yang makin ganas gelombangnya.

Sahabat,
Genggamlah tanganku andai engkau tidak mampu berdiri sendiri,
Peluklah aku tika kesepian menemanimu,
Tangan ni tidak pernah kuat untuk memegangmu,
Tapi aku percaya keikhlasanku cukup teguh untuk menolongmu,
aku memerlukanmu seperti mana kau memerlukan aku.
Monolog Luka Anak Segera
Perlukah aku berterima kasih ibu
kerana kesakitanmu melahirkan aku
sedang lahirnya aku tidak pernah
dialunkan azan
sedang tika kecil aku tidak pernah didakap
cium
sedang tika besarku tidak pernah dialu
ketika walang sering menyelubungi.
Benarkah aku yang berdosa
yang lahir kerana kesilapan dahulu
dek rasa gelora muda
tanpa sesal dan lupa dosa pahala
maka, atas nama cinta
terlontarlah aku ke dunia sengsara.
Aku ingin merasai
walau cuma sekali
rasa disayangi dan dicintai
dibelai atas nama cinta
seorang ibu
yang melahirkan aku
ke dunia fana ini.

6 comments:

  1. Cantik..penggunaan bahasa yang tepat dan kosa kata yang digunakan menarik pembaca merasai puisi cikgu

    ReplyDelete
  2. Subhanallah... indah nian puisinya

    ReplyDelete
  3. Tampa ku pungkiri, berlinang air mata ketika semakin ku baca hingga selesai "puisi ibu"

    ReplyDelete