Tuesday, April 17, 2012

Tempat Pelancongan Di Malaysia





TEMPAT MENARIK DI KEDAH

Dataran Helang, Pulau Langkawi

Balai Besar yang dibina pada tahun 1735 oleh Sultan Muhammad Jiwa Muadzam Shah. Dinding, atap dan lantainya diperbuat daripada kayu. Balai Nobat pula dibina setinggi lapan meter dan lima meter lebar. Ia menyimpan pelbagai khazanah peralatan muzik diraja, antaranya serunai, nafiri, gendang dan gong. Galeri Seni Lukis pula menghimpunkan pelbagai hasil seni termasuk seni lukis, fotografi, pertukangan tangan dan peralatan muzik.

Muzium Diraja Kedah pula merupakan Bangunan yang diperbuat daripada kayu dan dibina oleh Sultan Muhammad Jiwa Muadzam Shah pada 1735. Tunku Abdul Rahman dilahirkan dan dibesarkan di bangunan bekas istana ini.

Bagi yang beragama Islam, anda boleh melawati dan bersolat di Masjid Zahir yang dibina pada tahun 1912 sebagai penghargaan kepada Tunku Mahmud Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah. Menara Alor Star salah satu tempat yang juga menjadi tarikan pelancong. Ia terletak di tengah bandaraya Alor Star dengan ketinggian 165.5 meter. Ia adalah lambang kemodenan dan kepesatan pembangunan di Kedah. Ia berfungsi sebagai menara telekomunikasi.

Setelah penat berjalan, anda boleh pergi ke Pekan Rabu untuk menjamu selera dan membeli pelbagai cenderahati untuk di bawa pulang. Anda boleh mendapatkan pelbagai barangan termasuk pakaian, kraftangan dan makanan tradisional. Pekan Rabu terletak berdekatan bangunan jabatan kerajaan. Walaupun namanya Pekan Rabu, perniagaannya dibuka setiap hari berikutan sambutan orang ramai.

Banyak lagi sebenarnya tempat menarik yang terletak di negeri Kedah ini. Antara yang boleh saya sebutkan ialah seperti; Terusan Wan Mat Saman yang menghubungkan Sungai Kedah di Alor Star dengan kaki Gunung Jerai di Gurun, Sungai Petani, di selatan Kedah. Banyak sejarahnya disebalik terusan ini. Selain itu, anda boleh mandi manda di Air Panas Ulu Legong ,Baling; Lata Bukit Hijau, Lata Bayu, Rekreasi Arus Deras Sungai Sedim , Kulim, Air Terjun Perangin di Sik, Air Terjun Junjung, Kulim; Lata Mengkuang, Sik; Air Terjun Lembah Bujang, Merbok; Rekreasi Tupah, Merbok dan tidak ketinggalan juga menikmati keindahan alam semulajadi di Gunung jerai.

Gunung Jerai menjanjikan lokasi percutian menarik dengan keindahan bunga, deruan air terjun dan persekitaran nyaman. Jika anda ingin menikmati kelainan termasuk melihat bunga mangkuk beruk dan bunga kembang tiga bulan serta menghirup udara segar, bertandanglah bersama keluarga ke puncak Gunung Jerai, destinasi peranginan terkenal di Kedah.




TEMPAT MENARIK DI SARAWAK

Tebingan Sungai, Kuching

Kuching Waterfront
Kunjungan anda ke Kuching dikatakan tidak lengkap jika tidak singgah ke sini. Tempat ini di antara tarikan utama yang terdapat di Kuching. Selain keindahan Sungai Sarawak, kita boleh menikmati pemandangan bot-bot kecil serta melihat aliran air sungai yang bersih . Kuching Waterfront juga adalah tempat tumpuan penduduk tempatan berkumpul untuk riadah bersama keluarga. Bersetentangan dengan Kuching Waterfront itu, juga terdapat banyak deretan kedai yang menjual pelbagai jenis kraf yang boleh anda beli dan bawa balik.

Taman Negara Bako
Bagi penggemar alam sekitar, Taman Negara Bako sudah pasti menjadi pilihan utama untuk menikmati kehijauan flora dan melihat sendiri hidupan-hidupan liar. Monyet Proboscis atau dikenali sebagai ‘Orang Belanda’ merupakan tarikan utama pengunjung ke taman ini. Taman Negara tertua di Sarawak ini menggabungkan laut, pantai, paya, hutan dan tanah tinggi ini dikatakan mempunyai lebih 600 spesis tanaman bunga, termasuk 49 spesis orkid serta spesis haiwan dan spesis burung. Trek terpanjang di Taman Negara Bako adalah sejauh 10.5 kilometer ke Tanjung Kruin manakala yang paling pendek adalah ke Tanjung Sapi yang hanya berjarak 800 meter.

Kampung Budaya Sarawak
Dengan melawat perkampungan ini, anda bagaikan sudah melawat ke seluruh negeri Sarawak. Sebab itulah, ia digelar muzium hidup terbesar di dunia. Perjalanan ke sini mengambil masa kira-kira 45 minit dari Kuching dan tiketnya pula berharga RM60 untuk dewasa dan RM30 untuk kanak-kanak. Di sini anda dapat melihat aktiviti kebudayaan, dan pelbagai aspek sosio budaya kaumnya yang pelbagai. Kampung Budaya Sarawak ini mempunyai tujuh model berskala asal iaitu Rumah Panjang Bidayuh, Rumah Panjang Orang Ulu, Rumah Panjang Iban, Pondok Penan, Rumah Melanau, Rumah Melayu dan Rumah Cina. Di sini anda juga boleh melangsungkan perkahwinan anda di Kampung Kebudayaan Sarawak mengikut gaya tradisi kaum Iban, Melayu, Bidayuh atau Orang Ulu.





TEMPAT MENARIK DI TERENGGANU

 Masjid Terapung

Pulau Redang menyediakan paling banyak kemudahan percutian dan penginapan, termasuk dua pusat peranginan besar dan beberapa chalet lebih kecil yang terletak di tepi pantai. Pulau Redang terkenal kerana keindahan pantainya dan tempat-tempat menyelam yang menarik. Pelawat boleh menerokai 31 tapak menyelam, menyertai sukan pantai, berpesta dan menari sepanjang malam di Pasir Panjang, mendapatkan rawatan spa dan menikmati barbeku makanan laut yang segar. Anda boleh menaiki bot atau pesawat untuk ke pulau ini.

Pulau Perhentian Besar dan Kecil juga menawarkan tempat-tempat menyelam yang menakjubkan di celah-celah batu besar yang memagari teluknya. Air laut yang jernih, dengan daya penglihatan yang jelas dan terumbu karang yang indah, menjadikan Pulau Perhentian pilihan ramai penyelam veteran. Pengalaman menyelam sambil berenang bersama pari, yu karang dan barakuda pasti menjadi kenangan manis yang sukar dilupakan. Berhampiran pantai. anda boleh memerhati penyu bertelur di teluk, memberi makan ikan atau duduk bersantai di bawah matahari sambil menghirup udara laut yang segar.

Jika anda mencari destinasi percutian yang lebih terpencil, Pulau Lang Tengah mungkin menepati kehendak anda. Airnya yang hijau muda sangat jernih dan ikan-ikan berenang hingga hampir ke pantai, tanpa menghiraukan kehadiran manusia.

Pulau Bidong terletak dalam perairan yang tenang, dengan beberapa tempat terpencil untuk berenang, bersiar-siar dengan bot dan menyelam snorkel. Sebuah tugu dibina di sini untuk memperingati pelarian Vietnam yang mendapatkan perlindungan sementara di pulau ini.

Di sebelah Pulau Kapas, terletak Pulau Gemia atau Gem yang menawarkan sebuah lagi tempat percutian pantai yang indah dengan kawasan pedalaman yang berbukit-bukau yang tidak disentuh dan dibiarkan berhutan untuk memelihara hidupan liar.

Pantai Batu Buruk di bandar Kuala Terengganu pula  dilengkapi taman permainan, bangku dan gazebo, menjadikannya sebagai tempat pertemuan dan menjamu selera yang terkenal di kalangan penduduk tempatan. Terdapat banyak gerai yang menjual makanan dan minuman yang pelbagai rasa.

bersambung.... 

[kredit: Tempat2 Menarik Di M'sia]

No comments:

Post a Comment