PENGURUSAN BILIK DARJAH DINAMIK
Ke Arah Pembinaan Modal Insan
Berkualiti
Pendahuluan :
Pengurusan bermaksud satu proses mendapatkan
penyertaan, kerjasama, dan campurtangan ahli untuk mencapai objektif-objektif
organisasi atau kumpulan, gerakerjanya termasuk proses merancang, mengelola,
memimpin, mengarah dan mengawal. Bilik darjah sebagai tempat berlakunya
proses pengajaran dan pembelajaran, merupakan tempat yang terpenting di
sekolah. Bilik darjah juga merupakan medan perjuangan utama kerjaya seorang
guru. Pengurusan bilik darjah dinamik ke arah pembinaan modal insan yang
menjurus kepada pembinaan jasmani, emosi, rohani dan intelek memerlukan
pelbagai pengetahuan, kemahiran, prosedur, teknik dan strategi. Guru seharusnya
memiliki gaya kepimpinan, kemahiran merancang, kecekapan mengurus, kepelbagaian
dalam pengajaran dan pembelajaran, kebijaksanaan interpersonal, kemahiran
berkomunikasi, kemahiran kaunseling dan mampu mengendalikan teknoloji maklumat
dan komunikasi (TMK).
Pelbagai kekangan dan permasalahan akan ujud
dalam bilik darjah, kebiasaannya guru berhadapan dengan tiga cabaran yang besar
iaitu kerenah murid, memastikan hasil pembelajaran tercapai dan hambatan masa.
Guru yang berwibawa bijak bertindak sebagai penyelesaian masalah,
memperjelaskan objektif-objektif setiap perkara yang melibatkan bilik darjah
termasuk pengajaran dan pembelajaran serta penilaian (pentaksiran), keceriaan,
dan pengurusan murid sebagai pelanggan utama.
Pengurus yang berwibawa sentiasa bersungguh-sungguh
menjalankan tugas yang diamanahkan, kreatif dan innovatif, dedkasi, adil,
cekap, mesra, periang, bertimbangrasa, bersikap terbuka, tenang, sabar dan
sentiasa bersedia untuk mendengar rungutan, kritikan dan teguran yang dianggap
sebagai cabaran dalam kerjaya. Pengurusan tanpa cacat (zero defect) yang peka
dan sentiasa mencari pendekatan baru untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan
serta kekurangan yang menjadi punca kepada pembaziran dan kegagalan di samping
memiliki gaya pengurusan kualti yang mencakupi semua aspek bagi
meningkatkan produktiviti, keberkesanan program dan bertindak dengan
cekap.
Pengurusan bilik darjah yang menyeluruh
melibatkan pengurusan fizikal, peralatan dan sumber, pengurusan murid
(pelanggan), pengurusan organisasi, pengurusan masa dan pengurusan
pengajaran dan pembelajaran serta penilaian.
Pengurusan Fizikal, Sumber dan Organisasi
Bilik darjah yang mempunyai peralatan asas iaitu
papan hitam, papan kenyataaan, dan ruang yang selesa, meja dan kerusi untuk
guru dan murid, almari, yang diahiasi dengan penyediaan bahan-bahan bacaan, dan
bahan bantuan mengajar serta peralatan sokongan serta dihiasi dengan keceriaan
dan keberrsihan.
Susunan meja dan kerusi dalam bilik darjah
sebaik-baiknya memberi kemudahan kepada murid-murid mengadakan aktiviti
pembelajaran berpusatkan murid dan aktiviti berkumpulan. Murid mudah
berintraksi sesama mereka dan mudah berintraksi dengan guru. Bilik darjah yang
berukuran 7 meter x 9 meter boleh memuatkan 40 orang murid. Cahaya yang
mencukupi dan pintu dan tingkap yang terbuka yang membolehkan pengedaran udara
yang secukupnya.
Papan kenyataan yang dilengkapi dengan jadual
waktu, jadual bertugas, carta organisasi, pelan keselamatan, sudut mata
pelajaran, sudut bacaan atau rujukan, kata-kata motivasi, termasuk kemudahan
penggunaan laman web, komputer dan CD dan LCD sehingga melahirkan pembudayaan
bilik darjah yang kondusif. Hasilnya terjelma suasana yang harmonis, ceria, dan
semangat kepada murid dan guru untuk berada lebih lama kerana terasa
seolah-olah berada dalam sebuah rumah sendiri, ujudnya perasaan saling
berkerjasama dan kekitaan dan semangat berdikari, iaitu bersama berusaha
memajukan diri dan kumpulan secara kolektif.
Murid sebagai sumber manusia yang akan dijelmakan
menjadi murid yang berpengetahuan dan berkemahiran dan berketrampilan
memerlukan pengurusan dan perancangan strategik yang berkesan. Guru berperanan
sebagai pencetus idea, pembimbing, fasilitator bagi melahirkan suasana
pembelajaran yang mengcakupi semua bidang kemahiran sebagai sumber kepada
pembinaan modal insan. Suasana pembelajaran yang kondusif, menyeronokkan,
bermotivasi, bermoral, kreatif, menjadikan pengajaran dan pembelajaran lebih
berfokus.Kejayaan guru mengurus fizikal, sumber dan suasana bilik darjah
yang kondusif, bermakna guru telah berjaya membentuk budaya berdisiplin,
kerjasama, sayang kepada keindahan alam sekitar, mematuhi setiap arahan,
kehidupan berkualiti, yang melambang sebahagian daripada keimanan.
Persediaan untuk menghasilkan pengajaran dan
pembelajaran yang berkesan merupakan sebahagian daripada pengurusan bilik
darjah dinamik. Persediaan yang merangkum pelbagai alatan dan bahan untuk
kegunaan guru dan murid. Ada kalanya murid tidak memberi perhatian atau
berkelakuan di luar daripada nilai-nilai murni yang hendak digarap boleh
dilihat berpunca daripada tidak terdapat kesinambungan dalam pelajaran
disebabkan persediaan guru dari aspek bahan, perlatan, pengetahuan dan
kemahiran yang kurang mantap.
Iklim Dan Aplikasi Bilik Darjah
Suasana bilik darjah harmonis membantu peningkatan
pengajaran dan pembelajaran yang lebih bermakna. Adalah menjadi tanggungjawab
guru untuk membentuk iklim dan budaya bilik darjah yang baik. Gaya kepimpinan
yang berwibawa tanpa terlalu banyak memberi arahan dianggap sebagai
pemimpin demokratik hanya akan mengambil masa untuk mendapatkan buah fikiran
bagi menyelesai sesuatu isu, dan kelihatan kumpulan-kumpulan yang ujud di bilik
darjah mempunyai hubungan yang lebih mesra dan saling bekerjasama. Berbeza
dengan pemimpin Laiissez-faire yang memberi arahan-arahan yang tidak jelas dan
jawapan-jawapan yang ringkas tentang sesuatu persoalan.
Pendekatan-pendekatan yang hendak digunakan bagi
mengawal iklim dalam bilik darjah perlu berlandaskan tahap perkembangan
murid-murid. Iklim bilik darjah yang baik biasanya dikaitkan dengan kepatuhan
dan keseronokan murid bersama guru dalam bilik darjah tersebut. Guru yang
memiliki gaya kepimpinan yang matang sedia menerima dan menghormati setiap
murid dalam bilik darjah, memperbaiki peraturan-peraturan supaya peraturan itu
boleh berubah mengikut keadaan dan suasana serta menekan kepada
jangkaan-jangkaan yang positif. Apabila keadaan ini berlaku guru sebagai
pemimpin dapat menyesuaikan diri dengan pelbagai situasi dan pertumbuhan diri
murid-murid serta bersikap keterbukaan dalam perkara-perkara yang membawa
kepada kebaikan.
Pengurusan bilik darjah akan menjadi bertambah
baik jika sistem penyeliaan diurus dengan berkesan. Murid-murid diberikan
tugasan dalam mewujudkan iklim yang kondusif serta membantu dalam penyediaan
bahan dan alatan, tugasan-tugasan yang diberikan kepada setiap murid pada awal
tahun lagi dapat membantu mengembangkan budaya bertanggungjawab, berkerjasama
serta hubungan yang baik antara mereka dan juga hubungan antara guru
dengan murid, dan peranan guru sebagai pembantu penyelsaian masalah yang
dihadapi oleh murid-murid.
Secara umumnya, pengurusan bilik darjah
sebaik-baiknya merangkumi ciri-ciri kesesuaian (releven) dengan murid,
persediaan suasana pembelajaran yang berkesan, organisasi pengajaran dan sokongan-sokongan
yang membantu peningkatan aktiviti-aktiviti perkembangan pembelajaran secara
lebih aktif dan produktif, teknik-teknik motivasi dan penyelesaian konflik dan
pergabungan semua elemen dalam satu sistem bagi menampakkan keberkesanannya.
Peranan dan pengorbanan guru sebagai penggerak dan pengubah iklim yang kurang
menyerlah kepada suasana yang lebih kondusif sebagai jambatan utama susanan
pembelajaran yang memberangsangkan ke arah pembentukan modal insan di kalangan
murid..
Pengurusan Murid
Murid adalah pelanggan bagi setiap guru
dalam bilik darjah, mereka akan bersama setiap kali pengajaran dan pembelajaran
berlangsung dalam bilik darjah. Hati mereka perlu dibersihkan melalui
pendidikan yang terbaik, yang melampaui tingkahlaku manusia. Terdapat perbezaan
antara individu murid atau kumpulan murid dengan yang lain yang mendesak guru
menggunakan yang optimum dalam pengurusan bilik darjah, dan adalah penting guru
memahami tingkahlaku dan budaya murid supaya sebarang tindakan dapat dilakukan
mengikut kaedah yang betul dan tepat.
Pengurusan hal ehwal murid dalam bilik darjah
melalui pendekatan penyayang yang ditunjukkan oleh guru, dapat menjinakkan
mereka, bercakap dengan bahasa yang lembut dan bersopan, menegur dan membetul
kesilapan dengan cara yang berhemah, di samping menggunakan segala sifat
mahmudah, akan mempercepatkan proses kecintaan dan kesetiaan murid terhadap
gurunya, dan kemujaraban pemindahan maklumat daripada guru kepada muridnya.
Kemahiran berkomunikasi memainkan peranan penting
ke arah pembentukan budaya penyayang, komonikasi berkesan dalam dijelmakan
dalam cara bertutur, penggunaan bahasa badan, penulisan, juga melalui
penggunaaan alat-alat tertentu seperti komputer, telipon dan sebagainya.
Apabila seorang guru menggunakan kemahiran berkomonikasi terhadap muridnya,
dapat menghasil suasana pembelajaran yang lebih dinamik, pembentukan akhlak,
kemahiran-kemahiran tertentu dapat diterap dengan lebih mudah dan
berkesan. Komunikasi berkesan menghasilkan motivasi yang berkesan, murid
mudah menerima motivasi yang disampaiakn secara berhemah dan berhikmah,
nilai-nilai murni yang hendak ditanam dalam diri murid akan melalui laluan yang
lebih mudah dan berkesan.
Guru yang berwibawa sentiasa melihat pembelajaran
sosial sebagai satu aspek penting dalam bilik darjah. Setiap yang
dipimpin perlukan penghargaan dan pengiktirafan, dan guru seharusnnya bijak
menggunakan kebijaksanaan komunikasi serta pendekatan penyayang dengan
menghadiahkan senyuman, memberikan penghargaan apabila mereka mempamerkan sesuatu
yang lebih baik daripada sebelum, misalnya, kelas yang lebih teratur, kemas
yang bersih. Menghabiskan ayat hafazan sebelum jangka masa yang ditentukan,
markah yang semakin baik. Sekeping kertas berbentuk surat penghargaan, atau
sebatang pen sebagai tanda penghargaan sudah menunjukkan keikhlaan guru bagi
meningkatkan prestasi mereka.
Guru menunjukkan teladan sebagai seorang
professional, membentuk program-program yang bertujuan membangunkan murid,
dengan peraturan dan arahan yang jelas, bagi mengurang segala tingkahlaku
negative. Guru sepatutnya mengelak diri daripada menggunakan
pendekatan-pendekatan yang bertentangan dengan norma kemanusiaan yang menggalak
murid menghargai pertumbuhan pengetahuanh dan kemahiran diri.
Budaya bilik darjah yang dinamis, mementingkan
aspek nilai-nilai murni, hubungan yang mesra di antara sesama murid, dan murid
dengan guru, budaya belajar yang ceria, meyeronokkan yang menyentuh emosi,
meningkatkan kecergasan mental, kreatif dan enovatif, penyertaan yang aktif,
pembelajaran yang berobjektif dan bermatlamat, yang sentiasa mendapat dorongan
dan bimbingan guru dan rakan sebaya, tahap disiplin yang terkawal melalui
tindakan yang berhemah, yang dibaluti dengan perasaan kasih dan sayang dapat
memberi peluang yang terbaik untuk mengembang potensi diri mereka ke arah
pembentukan modal insan yang berkauliti.
Guru boleh membuat jangkaan terhadap pelajar,
seperti mengurangkan kadar ponteng dan permasalahan disiplin melalui pendekatan
pengurusan bilik darjah yang berkesan. Kadar bilangan murid yang terlalu ramai
dalam sesebuah bilik darjah, bukan satu ukuran yang subjektif untuk dibuat satu
kesimpulan bahawa kelas tersebut tidak dapat dibangunkan, tetapi bagaimana guru
menyusun kedudukan meja, mengorganisasikan murid sebagai sebuah pasukan yang
mantap, melalui tindakan guru sebagai fasilitator, pembimbing, penyelia,
pengawal dan penggerak serta menggunakan pelbagai pendekatan kaedah dalam
pengajaran dan pembelajaran yang disertai dengan semangat, minat, dan komitmen
guru bagi menjayakan visi dan misi. Kecekapan yang ditunjukan oleh guru bagi
menhasilkan bilik darjah sebagai sebuah rumah dalam slogan,’ bilik darjah ku,
rumah ku’.
Kemahiran mengawal kelas apabila guru melangkah
masuk ke kelas tersebut menjadi penting kerana seorang guru tidak boleh
melaksanakan pengajaran dan pembelajaran berkesan sekiranya muird-murid dalam
kelas berkenaan tidak dapat dikawal dengan baik. Guru mungkin berhadapan dengan
beberapa murid yang nakal, tetapi harus ingat bahawa bukan semua murid menjadi
punca permasalahan tetapi jika tiada pengawalan yang baik, jumlah murid yang
akan menimbulkan ketidakselesaan guru akan bertambah dan akhirnya menjejaskan
penumpuan guru terhadap penyampaian pengajaran .
Strategi bagi mengawal keadaan ini, guru
mengenalpasti murid-murid yang menimbulkan punca permasalahan, supaya murid
lain tidak menjadi ‘pak turut’ dengan permasalahan rakan mereka itu, murid yang
berkenaan dikenalpastikan pula punca yang menyebabkan ia bertindak sedemikian,
cuba membantu menyelesaikan punca permasalahan itu, dan teruskan aktiviti
pengajaran dengan banyak berinteraksi dengan murid yang berkenaan sehingga ia
merasakan dirinya mendapat perhatian dan dihargai bukan kerana dirinya tetapi
kerana tingkahlakunya yang tidak disenangi guru. Guru juga sentiasa mempamerkan
pengiktirafan terhadap murid berkenaan ketika berada di luar waktu pengajaran
dan pembelajaran, ketegasan kepada disiplin pembelajaran perlu dilakukan dengan
cara dan pedekatan yang berhemah yang menampakkan bahawa ketegasan itu bukan
bertujuan penderaan tetapi pengajaran. Sekiranya perlu murid berkenaan
diberikan nasihat, teguran dan kata-kata motivasi yang menggambarkan bahawa
guru menyayanginya. Apabila berlaku perubahan ke arah kebaikan, berilah
pengiktirafan dan penghargaan terima kasih. Kesabaran, kecekalan dan
kesungguhan untuk membentuk perangai mereka yang kadangkala mengambil masa yang
agak lama.
Beberapa perkara yang boleh dijadikan panduan
mengurus tingkahlaku murid, antaranya ialah senaraikan maklumat yang perlu
murid ketahui tentang peraturan yang wajib murid patuhi sepanjang masa
pengajaran dan pembelajaran dan disertai dengan sebab-sebab dan objektifnya.
Membiasakan diri datang ke bilik darjah menepati masa, menggunakan pelbagai
kaedah pengajaran dan pembelajaran mengikut tahap pencapaian murid, yang
dimulakan dengan set induksi yang menarik dan diikuti dengan aktiviti-aktiviti
pembelajaran yang menghilangkan rasa kebosanan mereka atau melakukan beberapa
tugasan yang berkaitan dengan isi-isi pengajaran tersebut, guru tidak
melengah-lengah waktu untuk memulakan pengajaran dan menamatkan pengajaran
diminit-minit yang akhir, untuk mengelakkan murid melakukan perkara-perkara
yang tidak berkaitan dengan hasil pembelajaran, banyak merangsangkan minda
mereka dengan kata-kata bermotivasi dan penuh dengan senyuman dan jenaka (sense
humor), dan pujian supaya suasana senstiasa ceria, di samping memberi
teguran umum yang berupa nasihat tetapi bukan leteran. Guru juga menghormati
murid seperti orang lain, bersikap adil kepada semua murid, hukuman berbentuk
deraan tidak seharusnya dilaksanakan kerana menyebabkan hubungan guru dengan
murid akan renggang dan menghilangkan minat murid untuk meneruskan
pembelajaran.
Pengurusan pengajaran dan pembelajaran
Pengurusan pengajaran dan pembelajaran
adalah aspek yang terpenting dalam bilik darjah, merupakan tugas utama
yang perlu diberi perhatian yang serius, pembaziran waktu akan berlaku dalam
satu masa pengajaran dan pembelajaran sekiranya objektif pembelajaran tidak tercapai.Pelan
Tindakan Strategik bagi mata pelajaran yang diajar perlu disediakan oleh guru.
Kajian dari aspek kekuatan, kelemahan, peluang dan halangan yang disertai
dengan perancangan untuk lima tahun dan perancangan untuk tahun semasa selaras
dengan perancangan staregik sekolah.
Peningkatan profesionalisma guru dalam bilik
darjah dilihat dalam aspek kebolehan mencorak kualiti pengajaran,
kebolehan menyusun organisasi pembelajaran, kebolehan mencorak iklim dalam
bilik darjah, kebolehan mencorak perkembangan murid termasuk perkembangan
akademik, perlakuan, sosial, emosi, rohani, intelek dan jasmani.
Guru yang bercita-cita untuk menjadi pengurus
bilik darjah yang berkesan dapat memahami perasaan dan kehendak hati nurani
murid-murid, guru perlu cekap mencorak iklim yang memberansangkan, kecekapan
dan kemahiran pengajaran, pengurusan masa, produktiviti dan tugas pengajaran
dan pembelajaran, mencorakkan tingkahlaku dan pengawalan disiplin murid. Oleh
itu guru berperanan sebagai pendidik, pemudah cara, pemimpin, pembimbing,
penilai, perancang, perunding dan pendorong ke arah kecemerlangan murid.
Bagi mencapai kecekapan dalam pengurusan
pengajaran dan pembelajaran maka perlukan kebijaksanaan dan penelitian
dalam perancangan , pelaksanaan, penyeliaan, penilaian dan
refleksi. Merancang kurikululum, sukatan, huraian sukatan, buku teks, bahan
rujukan tambahan dan maklumat tambahan daripada pelbagai sumber termasuk laman
web. Perkara-perkara yang melibatkan innovasi dan kreativiti dalam pengajaran
dan pembelajaran supaya kelas tidak menjadi beku dan kaku diikuti dengan
perancangan kemajuan pelajar, merangka rancangan kerja tahunan, termasuk
ujian, penilaian dan pentaksiran. Perancangan yang berkualiti menjamin
peningkatan kuantiti dan kualiti dalam proses perkembangan pembelajaran serta
hasilannya. Biasanya tingkahlaku dan minat murid akan berubah apabila bertukar
guru, ada guru yang digemari murid dan sebalik ada yang tidak digemari murid.
Pembelajaran yang bermakna melibatkan
proses memahami, berfikir, berbincang, membuat pertimbangan, menganalisis,
kognitif, bagi mengembangkan minda murid. Diperluaskan kepada kemahiran
komunikasi, menyesuaikan diri, kemahiran sosial, dan perkembangan tingkahlaku.
Prinsip umum pembelajaran, iaitu meningkatkan dan mengekalkan rasa kejayaan,
meluaskan tahap keintlektualan, kerohanian, kekuatan emosi, dan keteguhan
jasmani, merangsang minat dan menghasilkan keseronokan, memberi ruang dan
peluang untuk mengatasi kelemahan, tidak menakut-nakutkan dan mengungut murid,
sebaliknya memberi peluang kepada mereka memperbaiki kelemahan, tidak
membiarkan kegagalan berterusan, pembelajaran perlu realistik dan boleh
dilakukan, mengambil kira kemampuan murid, pembelajaran perlu dapat
menentukan objektif iaitu apa yang hendak dikuasai oleh murid, dan pembelajaran
juga mampu mencabar kebolehan murid bagi mengembangkan potensi mereka.
Guru perlu memiliki beberapa kemahiran penting,
kerana kemahiran mengajar menjadi instrumen untuk kejayaan dalam mengurus bilik
darjah, antara kemahiran dalam pelbagai kaedah pengajaran dan
pembelajaran yang boleh diambil dari modul, model, kaedah dan teknik yang sedia
ada atau menggunakan daya innovasi dan kreativiti membina model-model
tersendiri, kemahiran berkomunikasi, kemahiran interpersonal, kemahiran dalam
bimbingan dan kaunseling, kemahiran dalam menawan emosi atau kesedaran emosi
juga menjadi pemangkin dalam pengajaran dan pembelajaran.
Komunikasi adalah medan pemindahan pengetahuan,
penyampaian pengajaran, mengembangkan kemahiran berkomunikasi, dan mendapat
maklumat. Mengamalkan komunikasi berkesan, penggunaan bahasa, kesediaan
mendengar, meningkatkan proses intraksi, komunikasi terbuka, kemahiran bertutur
dan mengemukakan pandangan, berhujah dan berdailog,
Guru seharusnya mampu mengembangkan kemahiran
komunikasi, lebih kreatif dan hubungan yang lebih dinamik kesannya,
penyelesaian konflik yang berrlaku, memberi ruang untuk murid melahirkan
pandangan, guru mampu melakukan pengaliran maklumat yang lebih berkesan, serta
mendapat maklum balas yang benar. Guru berjaya menghasilkan kreativiti
dalam pengajaran dan pembelajaran, dengan membina pelbagai kemahiran, yang
boleh meningkatkan kecekapan, dan meluaskan skop pembelajaran, yang
bermatlamat bagi meningkatkan pengajaran guru.
Justeru itu guru seharusnya mengelakkan masalah
yang boleh menjejaskan keberkesanan komunikasi seperti kekeliruan,
salahtafsir, bahasa yang kasar, suara yang tidak jelas, bahasa badan yang tidak
sesuai, memberi tekanan emosi murid, komunikasi tertutup, tidak memberi
perhatian dan tumpuan tentang pengajaran dan pembelajaran.
Kehebatan pengajaran guru bergantung kepada
kejelasan suara, gaya pengajaran yang menarik, flesibiliti iaitu tidak sehingga
membosankan, inovasi, kreatif, pendekatan yang sentiasa digunakan untuk
membaiki kelemahan murid, penglibatan murid dalam aktiviti kelas, dan
pengurusan masa yang berkesan. Meransang minat, memenuhi keperluan diri,
sosial, dan psikologi, dorongan dan sokongan, mengembangkan potensi, kebolehan,
minat, bakat dan keyakinan diri murid.Kepakaran guru diukur dari aspek
inisiatif, dedikasi, perancangan, kerjasama, kepimpinan, kepakaran, integriti
yang tekal dalam organisasi yang dapat mengujudkan keharmonian dan menunjukkan
kesetiaan dan sokongan bagi menjayakan wawasan, keaktifan, dan pengurusan masa.
Pembelajaran murid terhasil melalui proses pendengaran,pemerhatian, peniruan,
membuat, ekplorasi iaitu pembelajaran yang aktif yang merangsangkan minat
murid, melalui latihan, percubaan, penglibatan dalam aktiviti pembelajaran.
Kejayaan seseorang guru sebagai pengurus di bilik
darjah tidak semata-mata dinilai daripada aspek kemahiran dan teknik pengajaran
dan pembelajaran semata-mata, tetapi kualiti peribadi dan sahsiah diri juga
menjadi tarikan kepada murid-murid. Pada amnya guru yang disukai murid
antaranya ialah yang sentiasa berwajah periang, pandai berjenaka, bersangka
baik, berperasaan yang matang, jujur dan ikhlas dalam menjalankan tugas,
berfikiran positif, tenang menghadapi sebarang krisis, pendengar yang aktif,
berjaya menyelesaikan konflik, dan tidak mudah menyalahkan orang lain. Imam
al-Ghazali menggariskan ciri-ciri guru yang efektif iaitu guru yang memiliki
rasa simpati kepada setiap murid dan melayani mereka seperti anak sendiri,
meneladan sunnah Rasulullah S.A.W. yang ikhlas dalam memberi perkhidmatan,
tidak membenarkan murid melaksanakan sesuatu tugas kecuali guru benar-benar
mengetahui pengetahuan tersebut, menasihat murid secara lembut dan berhemah
supaya meninggalkan perkara-perkara yang buruk, tidak sekali-kali merendahkan
disiplin ilmu yang lain di hadapan murid, menghadkan pembelajaran bersesuaian
dengan tahap pencapaian dan pemahaman murid dan tidak memaksa mereka mencapai
sesuatu di luar kemampuan serta menyediakan bahan pembelajaran yang mudah
difahami, jelas dan bersesuaian dengan tahap perkembangan akal murid.
Pengajaran Dan Pembelajaran
Pengajaran dan pembelajaran yang hendak
dikembangkan seharusnya mengikut instrumen yang telah ditetapkan oleh
bahagian-bahagian pengurusan di atas. Jabatan Pendidikan Islam Dan Moral adalah
satu-satunya jabatan yang bertanggungjawab untuk memperkenalkan dan
menyelaraskan instrumen-instrumen berkenaan untuk digunapakai oleh organisasi
di bawah kawalan. Modul pengajaran dan pembelajaran yang disediakan oleh JAPIM
telah melepasi piawai yang dikehendaki oleh pengurusan sekolah dan jemaah nazir
sekolah. Beberapa perkara penting yang dititikberatkan dalam modul berkenaan
iaitu hasil pembelajaran dan fokus, isi kandungan pelajaran, set induksi,
perkembangan pengajaran dan pembelajaran. Penilaian, rumusan, tugasan dan
refleksi.
Set induksi :
Merupakan suatu perkara atau proses yang
diperkenalkan pada minit pertama pengajaran yang bertujuan untuk menarik
perhatian dan mendorong murid mempengaruhi hasil pembelajaran, set induksi yang
menarik dapat menimbulkan minat murid terhadap tajuk yang hendak disampaikan
guru, murid memperolehi gambaran awal sebelum dimulakan pengajaran tajuk yang
sebenar, mendorong pelajar untuk mengetahui isi pengajaran, dan pemusatan
mental murid kepada satu konsep atau pendekatan yang hendak dikemukakan oleh
guru.
Set induksi boleh disediakan dalam pelbagai
bentuk dan kaedah yang menarik, seperti tayangan sedutan filem, sebuah nasyid,
pantun, puisi, satu persembahan atau lakonan, permainan, soal jawab,
mempamerkan suatu bentuk atau objek, suatu penyataan yang kontroversial, klip
vedio tentang sesuatu panorama, atau satu peristiwa yang telah berlaku, atau
menyediakan satu bahan atau satu persoalan yang mencabar minda murid. Set
induksi yang hendak disediakan hendaklah yang dapat dikaitkan dengan hasil
pembelajaran, isi pelajaran, yang mendorong minat murid terhadap tajuk yang
hendak diajar, dan dimulakan dalam keadaan murid sudah bersedia bagi memulakan
sesuatu sesi pengajaran dan pembelajaran, dalam jangka masa antara satu hingga
lima minit.
Perkembangan isi pelajaran :
Perkembangan isi pelajaran berlaku secara
berurutan dengan set induksi, bagi matapelajaran Pendidikan Islam
langkah-langkah perkembangan dibahagikan kepada tiga aras. Aras pertama adalah
aras asas dan semua murid kelas yang di ajar hendaklah menguasai aras ini,
sekiranya gagal mereka dikehendaki mengikuti program pemulihan melalui
pendekatan yang lebih mudah seperti menyediakan soalan-soalan yang mudah
difahami serta nota ringkas dan mereka membaca dan memahami nota dengan
bimbingan guru kemudian menjawab soalan manakala murid-murid lain akan terus ke
aras kedua iaitu meneruskan perkembangan selanjutnya, setelah itu guru membuat
penilaian, sekiranya ada yang gagal, murid-murid berkenaan diberikan program
pemulihan dengan pendekatan yang lebih sesuai, murid-murid lain terus ke aras
ketiga sehingga selesai dan diikuti dengan penilaian yang terakhir dipenghujung
pengajaran dan pembelajaran.
Langkah-langkah perkembangan isi pelajaran perlu
bermula dari yang mudah kepada yang lebih kompleks, langkah-langkah disusun
dengan menggunakan kaedah-kaedah dan teknik-teknik pengajaran yang sesuai,
secocok dengan kemampuan serta menarik minat murid untuk terus menghayati ilmu
yang sedang diterokai. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan dapat dilaksanakan dengan
berkesan mengikut masa yang telah ditetapkan, jika tidak, pembaziran masa akan
berlaku dan isi kandungan tidak dapat diselesaikan. Setiap isi pelajaran yang
diperuntukkan dalam masa tersebut dapat dinyatakan, difahami, dan sebahagian
murid pula dapat menganalisa, membandingbeza dan dapat membuat
penilaian.
Pembinaan modal insan yang berkualiti yang
menjadi agenda Negara sewajarnya dipupuk dalam proses pengajaran dan
pembelajaran. Pembinaan intelek, rohani, emosi dan jasmani seharusnya disemai
melalui aktiviti-aktiviti dalam pengajaran dan pembelajaran yang berterusan
supaya ianya menjadi amalan, penghayatan dan pembudayaan. Penyerapan dengan
matapelajaran yang lain, termasuk prinsip-prinsip Islam Hadhari,
penggabungjalinan dengan tajuk-tajuk lain, serta penerapan nilai. Guru
menggunakan berbagai kaedah dan teknik bagi meningkatkan penguasaan ilmu
di samping menjana kemahiran berfikir, termasuk kemahiran-kemahiran lain
seperti kemahiran berkomunikasi dan berintraksi, kemahiran menulis, kemahiran
berhujah, kemahiran imiginasi dan sebagainya, bagi membentuk kemenjadian murid.
Kemahiran menggunakan sumber yang sedia ada
menjadikan pengajaran dan pembelajaran lebih berksan, seperti alat bantuan
mengajar dan bahan bantuan mengajar dan bahan bantuan belajar kemudahan
teknologi maklumat dan komunikasi, bahan rujukan tambahan, bahan maklumat
tambahan dan sebagainya menjadi inspirasi guru untuk memudah dan
mempercepatkan proses pengajaran dan pembelajaran. Sumber pengajaran dan
pembelajaran hendaklah yang lebih releven dengan hasil pembelajaran serta isi
pembelajaran. Sumber itu dapat mempercepat dan menjimat masa pembelajaran,
menarik minat murid, dan boleh disertai oleh semua murid. Maklumat dari sumber
berkenaan adalah tepat, pengolahan yang mudah difahami, senang digunakan dan
boleh diubah dan sesuai dengan keadaan semasa.
Apabila seluruh potensi insan dibangunkan secara
intergrasi atau bersepadu, ia bakal melahirkan insan yang berketrampilan yang
mampu menyumbangkan segala kebolehan untuk kebaikan diri, masyarakat dan
Negara. Hati adalah penentu dalam pembangunan insan kerana hati menjadi punca
penggerak dan keinnginan manusia dan dari hati juga lahirnya pertimbangan dan
nilai sesuatu amalan. Hati perlu menjalani proses pendidikan supaya lahirnya
hati yang bersih, baik dan bermanfaat. Intergrasi ilmu yang bersandarkan kepada
al-Quran dan as-Sunnah dan dikaitkan dengan berbagai cabang ilmu, bakal
melahirkan modal insan yang berkualiti.
Pengujian, penilaian, pengukuran dan
pentaksiran :
Pengujian adalah merujuk kepada satu cara untuk
merealisasikan maklumat tentang perubahan tingkahlaku seseorang. Ujian terdiri
satu set soalan atau tugasan murid yang meminta mereka memberi respons
atau tindakbalas. Ujian yang dijalankan yang berfokus kepada satu atau lebih
unit pembelajaran adalah sebagai pengukur keberkesanan hasil pembelajaran,
mengesan kemajuan yang telah diperolehi tentang sesuatu isi pelajaran yang
telah dihasilkan dalam aktiviti pembelajaran. Ujian petempatan pula adalah
bertujuan menguji pengetahuan yang sedia ada, bagi menentukan aras pembelajaran
yang berikut, dan ujian diagnostik adalah bertujuan untuk menjadi panduan
kepada guru menentukan kaedah pemulihan dan pengukuhan yang akan
dilakukan selepas ujian tersebut.
Pengukuran merupakan suatu proses untuk
menetapkan kuantiti dan tahap keberkesanan pengajaran guru dan pembelajaran
murid. Alat pengukuran yang biasa digunakan oleh seseorang guru. Tujuan
pengukuran dalam bilik darjah adalah untuk mengesan hasil pembelajaran,
mengesan kemahiran, kemajuan yang telah dicapai dalam pembelajaran yang lain
serta membuat refleksi terhadap kemampuan dan penguasaan seeorang murid.
Cara pengukuran boleh dilakukan dengan kaedah yang pelbagai bagi mendapatkan data
kuantitif, bagi menunjukkan pencapaian dalam isi pelajaran yang diukur.
Penilaian dalam pembelajaran adalah suatu proses
mentaksir sama ada kuantiti atau tahap sesuatu yang diukur itu boleh diterima
atau tidak. Penilaian melibatkan tiga langkah iaitu mendapatkan maklumat
melalui cara mengukur, menetapkan suatu kriteria bagi pengukuran dan membuat
sesuatu pertimbangan berdasarkan hasil pengukuran. Selain daripada ujian,
penilaian boleh dilakukan melalui soal selidik, senarai semak, bagi mendapatkan
maklumat tentang pencapaian dan tingkahlaku murid secara menyeluruh.Kepentingan
penilaian dalam bilik darjah, antaranya membantu guru merancang strategi
pengajaran setelah mengetahui punca kelemahan dan merancang program pengukuhan,
dan menentukan pengajaran dan pembelajaran yang lebih efisien dan efektif.
Murid dan ibubapa mendapat laporan kemajuan pelajaran. Mengesahkan tahap
pencapaian murid bagi membantu guru membuat tindakan susulan. Membantu Pengetua
atau Guru Besar, Penolong Kanan, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, kaunselor,
Guru Bidang dan juga Ketua Panitia Mata Pelajaran bagi melaksanakan berbagai
pendekatan membantu meningkatkan prestasi dalam peperiksaan.
Penilaian terbahagi kepada dua kategori iaitu
penilaian formatif dan penilaian sumatif. Penilaian formatif bertujuan
untuk mengukur kemajuan pelajaran murid setelah sesuatu hasil pembelajaran
telah selesai dilaksanakan oleh guru, guru dapat mengetahui pencapaian murid
sama ada boleh diteruskan ke hasil pembelajaran yang berikutnya. Sekiranya
mejoriti murid gagal dalam ujian ini, guru seharusnya melakukan pemulihan atau
pengulangan dalam kaedah atau pendekatan yang lebih mudah. Jika sebilangan
kecil murid yang gagal, maka murid-murid tersebut juga perlu diipulihkan
melalui bimbingan atau menyediakan tugasan tertentu dan dalam masa yang sama
pengajaran dan pembelajaran murid-murid yang berjaya diteruskan ke aras atau
hasil pelajaran yang berikutnya.
Penilaian sumatif ialah penilaian yang
dilakasanakan di akhir semester atau tahun seperti peperiksaan akhir tahun,
peperiksaan semester I, peperiksaan percubaan dan sebagainya. Tujuannya adalah
untuk menentukan gred-gred pencapaian atau untuk memberi penganugerahan atau
sijil. Bidangnya menjadi lebih luas yang mencakupi semua perkara yang perlu
dikuasai murid bagi setiap mata pelajaran. Guru juga menggunakan keputusan
tersebut sebagai menilai semula keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.
Beberapa jenis ujian boleh dilaksanakan oleh
guru, antaranya, ujian rujukan kriteria, ujian rujukan norma, ujian objektif,
ujian subjektif, ujian tara, ujian buatan guru, ujian bukan bertulis, ujian
bertulis, ujian kepantasan dan ujian daya.
Ujian rujukan norma ialah ujian yang bertujuan
membanding pencapaian seorang murid dengan murid yang lain. Soalan-soalan yang
dikemukakan terdapat aras mudah, sederhana dan sukar. Ujian rujukan kriteria
ialah pencapaian seseorang murid diukur dan dibandingkan dengan kretiria
yang telah ditentukan contohnya untuk mendapat markah yang penuh bagi sesuatu
soalan atau tugasan maka murid berkenaan perlu memenuhi aspek-aspek yang telah
ditentukan. Soalan-soalan dalam ujian ini adalah hampir sama aras kesukarannya,
guru dapat membayangkan tahap pengetahuan dan kemahiran yang dicapai oleh murid
yang berkenaan. Ujian rujukan kretiria ini lebih mengutamakan pembelajaran
bahagian-bahagian tertetu bukan keseluruhan.
Ujian objektif adalah ujian yang biasanya
memerlukan jawapan pendek iaitu beberapa perkataan sahaja atau menandakan
jawapan mana yang betul, contohnya ujian aneka pilihan, salah-betul, padanan,
isi tempat kosong dan lengkapkan dan pemeriksa akan memberi markah yang sama
dengan pemeriksa yang lain. Ujian subjektif, ialah soalan yang bertujuan untuk
menguji pengetahuan, kefahaman dan kebolehan murid itu berfikir, menganalisis,
membuat sentisis dan penilaian. Calon diberi kebebasan untuk memberi jawapan
dengan pendekatan sendiri. Soalan ini terbahagi kepada soalan yang memerlukan
jawapan yang ringkas, dan soalan yang memerlukan jawapan yang tiada had.
Ujian tara ialah ujian yang mempunyai prsedur
pentadbiran dan permarkahan yang setara dengan murid di tempat yang lain sama
bagi satu daerah, negeri atau Negara. Ujian buatan guru adalah ujian yang
disediakan untuk mengukur hasil pengajaran dan pembelajaran seseorang guru bagi
mata pelajaran tersebut. Ujian bulanan, pertengahan tahun dan akhir tahun sama
ada berbentuk objektif atau subjektif.
Ujian bukan bertulis dikatakan sebagai ujian
perlakuan, yang tidak menggunakan perkataan kecuali semasa memberi arahan.
Contohnya, murid menyusun kembali keratan-keratan gambar supaya menjadi gambar
yang lengkap. Ujian bertulis iaitu ujian yang perlu dijawab menggunakan
perkataan yang ditulis di atas kertas.
Ujian kepantasan ialah ujian yang mengandungi
jumlah soalan yang banyak dan perlu diselesaikan dalam jangka masa yang terhad
dan hampir sama aras kesukarannya. Ujian Daya ialah ujian yang terdiri daripada
soalan-soalan yang berbeza-beza aras kesukaran dan markahnya tertakluk kepada
jumlah soalan yang dijawab dengan betul, masa yang diperuntukkan adalah lebih
lama dimana mejoriti pelajar dapat menyelesaikan semua soalan.
Jadual penentuan ujian (JPU) dan sekarang
dikenali sebagai jadual spesifikasi ujian (JSU), adalah satu senarai
objektif pengajaran dan aras pemahaman yang hendak diuji dan menjadi satu
panduan untuk menghasilkan satu set soalan yang mempunyai item-item soalan.
Tujuan utama pembinaan JSU untuk mengawal soalan-soalan yang akan
dihasilkan, menentukan kesahan dan kebolehpercayaan ujian, menjadi garis
panduan kepada penggubal soalan, menstabilkan aras kesukaran yang ditentukan
oleh pihak bertanggungjawab, dan membolehkan perbandingan dibuat antara satu
ujian dengan ujian yang lain.
Ciri-ciri utama JSU ialah penentuan tajuk,
aras kemahiran yang hendak diuji, paksi menegak adalah tajuk atau isi
pengajaran, paksi mendatar adalah kemahiran atau konstruk, bilangan soalan, dan
menetukan kesahan setiap ujian. Prosedur pembinaan JSU iaitu bermula dengan
langkah pertama iaitu memilih hasil pembelajaran yang hendak diuji,
menyenaraikan isi atau tajuk-tajuk, dan membina carta menegak dan melintang.
Rumusan, tugasan dan refleksi :
Guru merumuskan hasil pembelajaran yang telah
dikembangkan melalui pelbagai kaedah yang menarik, bukan sekadar guru
menggambarkan sepintas lalu isi kandungan, tetapi guru boleh menggerakkan
murid memberi rumusan berdasar pengalaman pembelajaran tersebut, rumusan juga
boleh dipindah dalam pelbagai bentuk seperti susunan dalam bait-bait puisi,
sajak, pantun, soal jawab dan main peranan.
Tugasan yang disediakan kepada murid adalah untuk
pemulihan dan pengukuhan, bergantung kepada pencapaian hasil pembelajaran,
tugasan boleh dijelmakan dalam bentuk pemantapan isi seperti meminta murid
menyedia peta minda lengkap, menjawab soalan-soalan yang diberi atau untuk
tujuan pengukuhan seperti membuat rujukan di perpustakaan, menyediakan folio,
atau buku skrap, membuat kajian-kajian luaran, menulis dalam bentuk karangan
dan sebagainya.
Guru perlu mencatatkan kemajuan dan kelemahan
yang terdapat dalam pengajaran dan pembelajaran tersebut dan mencari
peluang-peluang bagi pengubahsuaian serta mengemuka pandangan atau
cadangan bagi menyelesaikan beberapa masaalah pembelajaran supaya
pengajaran dan pembelajaran berikut dapat dilaksakan dengan lebih sempurna dan terdapat
penambahbaikan.
Penutup
Guru yang berkualiti mempunyai wawasan yang
jelas, daya kreativiti, serta peka terhadap segala perubahan yang
dikehendaki oleh pengurusan atasan supaya tidak berlaku pembaziran waktu
disebabkan berbagai pemantauan yang penyeliaan yang terpaksa dijalankan.
Guru yang berwibawa sentiasa memikir kaedah bagi
mencapai pengurusan yang cemerlang, di antara perkara yang menjadi fokus ialah
mengetahui dan memahami bidang kerjayanya, menghayati hasil kerja atau objektif
kerja untuk jangka panjang dan jangka pendek, kerja yang dilakukan lebih
spesifik, boleh diukur pencapaiannya, boleh dicapai, realistik, dan bijak
dalam pengurusan masa.
Perancangan yang rapi bagi memastikan
objektif-objektif tercapai, meletakkan keutamaan dalam tugasan. Keupayaan,
kemahiran melaksanakan tugas, kemahiran berfikir, kemahiran berintrkasi, dan
berkomunikasi, kemahiran mengurus dan mentadbir, dan kemahiran mengaplikasi
peralatan yang terkini seperti komputer, kecekapan menjalankan tugasan yang
diamanahkan di samping memiliki wawasan yang jelas. Kemampuan membuat
pemantauan atau refelkesi di atas kerja-kerja yang telah dilakukan untuk tujuan
penambahbaikan, di samping memiliki sahsiah sebagai seorang guru yang boleh
mempamerkan teladan yang baik kepada semua orang serta mematuhi tonggak dua
belas, nilai dan etika dalam perkhidmatan awam serta etika kerja dalam Islam.
Guru yang berwawasan bertindak sebagai mualim,
muaddib, murabbi, mursyid, dan dalam masa yang sama sebagai fasilitator,
pembimbing dan kaunselor yang sentiasa komited dengan kerjayanya iaitu
menumpukan perhatian dengan bersungguh-sungguh melaksanakan tugas. Sabda
Rasulullah SAW bermaksud, ‘sesungguhnya Allah suka apabila seseorang itu
melakukan pekerjaan dengan tekun’. (Riwayat Baihaqi). Guru adalah
segala-galanya.
Pengurusan bilik darjah yang dinamik bergantung
kepada kebijaksanaan guru memainkan peranan sebaik mungkin bagi menghasil bilik
darjah harmonis, kondusif dan perlaksanaan pengajaran dan pembelajaran yang
memberansangkan serta mencapai objektif.
No comments:
Post a Comment